

PUTRAJAYA, 3 Okt — Seramai 1,500 penari dan penghibur kebudayaan dari seluruh negara berhimpun di IOI City Mall Putrajaya malam ini bagi memeriahkan Colours of Parade, acara kemuncak Citrawarna Speed Festival 2026 yang menampilkan keunikan warisan, tradisi dan budaya pelbagai kaum di Malaysia.
Acara tersebut merupakan tarikan utama festival anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung selama 12 hari bermula 23 September hingga 4 Oktober 2026. Festival ini diadakan di tiga lokasi utama iaitu IOI City Mall Putrajaya, KLIA Terminal 1 dan Hotel Sama-Sama KLIA sebagai sebahagian daripada Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, bersama beberapa pemimpin kementerian, agensi pelancongan dan wakil sektor korporat.
Sebagai acara utama festival, Colours of Parade mengetengahkan persembahan budaya yang mewakili wilayah Utara, Tengah, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung, selain Sabah dan Sarawak. Perarakan turut menampilkan persembahan komuniti Orang Asli, Cina, India, Sikh dan Siam menerusi gabungan muzik tradisional, tarian, busana berwarna-warni, persembahan perkusi dan pancaragam Nusantara.


Selain perarakan kebudayaan, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti di bawah segmen Colours of Art & Culture yang menampilkan 14 reruai interaktif melibatkan kraf tangan, seni warisan dan demonstrasi budaya secara langsung. Festival turut menggabungkan elemen sukan permotoran menerusi pelbagai tarikan interaktif bagi memperkayakan pengalaman pengunjung.
Bagi pelawat antarabangsa, pengisian festival turut dibawa ke KLIA Terminal 1 dan Hotel Sama-Sama KLIA, membolehkan mereka mengenali budaya Malaysia sebaik tiba di negara ini.
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran festival ini menyokong momentum sektor pelancongan negara yang mencatat 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pada masa sama, pelancongan domestik merekodkan 151.6 juta pergerakan pelawat dalam separuh pertama 2026, meningkat 5.6% berbanding tahun sebelumnya.
Festival akan melabuhkan tirai pada 4 Oktober dengan Pengaktifan Lamborghini di IOI City Mall Putrajaya, yang dijangka menghimpunkan kira-kira 100 buah Lamborghini, sekali gus melengkapkan konsep unik festival yang menggabungkan budaya dan sukan permotoran dalam satu platform.


